LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya perlu lebih tajam dalam menyudahkan peluang sekiranya mahu menamatkan penantian 22 tahun menjuarai Liga Perdana Inggeris selepas berdepan kekalahan 0-1 kepada Liverpool awal pagi semalam.
Jaringan tunggal Dominik Szoboszlai menyaksikan Arsenal terpaksa pulang dengan penuh kekecewaan sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan peminat mereka mengenai kemampuan mereka merangkul kejuaraan musim ini.
“Mereka memenangi perlawanan selepas menguasai momen terbaik yang ada dalam perlawanan ini. Kami juga sepatutnya menyudahkan momen seperti itu jika mahu memenangi perlawanan.
“Anda tidak mungkin mampu mendominasi perlawanan 90 minit di sini, ia mustahil. Pada akhirnya, seperti yang saya katakan bahawa kami perlu mencari jalan untuk memenangi perlawanan besar seperti ini.
“Kami jauh lebih baik berbanding musim lalu. Kami perlu sentiasa menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan. Itu sahaja cara yang kami perlu lakukan untuk menjadikan musim ini milik kami,” katanya,
Pada perlawanan itu, Arsenal tempang apabila dua tonggaknya, Bukayo Saka dan Kai Havertz tidak dapat beraksi akibat kecederaan, manakala pemain pertahanan, William Saliba gagal menamatkan perlawanan apabila turut tercedera.
Kehadiran penggempur baharu, Viktor Gyokeres juga tidak memberikan impak besar di bahagian serangan The Gunners apabila pergerakannya sepanjang perlawanan mudah diatasi oleh kapten Liverpool, Virgil Van Dijk. – AGENSI