AMPANG – Seorang peniaga wanita tempatan ditahan polis selepas disyaki mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pengusaha pusat kecantikan di Taman Dagang, di sini, pada 26 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pengadu berusia 58 tahun yang sudah lebih dua tahun menjalankan perniagaan di lokasi tersebut membuat laporan selepas terancam dengan tindakan suspek.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, suspek berusia 46 tahun yang juga peniaga di aras sama didakwa menjerit serta memaki hamun pengadu hingga menimbulkan ketakutan pelanggan serta orang awam yang berada di sekitar premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara kedua-dua pihak serta perasaan cemburu terhadap perniagaan masing-masing.
Katanya, kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah menahan suspek di sekitar Ampang.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 30 Ogos.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya bagi arahan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan sebelum ini mendapati kedua-dua pihak pernah bertengkar mulut sejak dua bulan lalu namun tidak melibatkan sebarang pergaduhan fizikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE