PETALING JAYA – Isu aset ketenteraan usang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya turut melibatkan tahap penyelenggaraan yang ketat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aset lama masih boleh digunakan dengan baik dan selamat sekiranya diselenggara mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta jadual penggantian alat ganti yang ditetapkan.
“Penyelenggaraan termasuk pemeriksaan rutin, penggantian komponen haus serta ujian prestasi memastikan aset pertahanan kekal selamat dan boleh digunakan dalam operasi sebenar.
“Walaupun berusia, aset masih berfungsi sekiranya disokong dengan sistem senggaraan rapi dan terperinci,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memastikan aset ketenteraan berada dalam keadaan siap siaga dengan melaksanakan penyelenggaraan menyeluruh.
Beliau memberi contoh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini dalam proses menggantikan pesawat Hawk dengan FA-50, menaik taraf pesawat C-130, menambah pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) serta menggantikan helikopter Nuri dengan model moden termasuk Eurocopter EC725, AgustaWestland AW139 dan AW149.
“Dengan kos perolehan aset baharu yang tinggi, pendekatan strategik kementerian adalah mengekalkan aset utama melalui naik taraf dan pemanjangan hayat, sambil beralih secara beransur-ansur kepada platform baharu.
“Langkah ini memastikan kesiapsiagaan ATM terus terpelihara tanpa mengorbankan keberkesanan pertahanan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE