PETALING JAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang menegaskan, kecerdasan buatan (AI) bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan negara.
Menurut beliau, aspirasi Malaysia malah berada dalam kelompok 20 ekonomi AI teratas dunia menjelang tahun 2030.
“Kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna, sebaliknya mesti berani menjadi pembina, peneraju dan pengeksport teknologi AI,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Lih Kang berkata, beliau telah melancarkan MRANTI AI Connect 2025 iaitu sebuah forum inovasi nasional di bawah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) serta merasmikan Intelligent Operation Centre (IOC).
Jelas beliau, Melalui MRANTI AI Connect, inovator tempatan disambungkan dengan peneraju global, membuka peluang mempercepat penggunaan AI merentas industri dan menjana penyelesaian yang mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Inisiatif seperti ini adalah bukti bahawa dengan kerjasama strategik, Malaysia mampu membina ekosistem AI yang inklusif, bertanggungjawab dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE