ALOR SETAR – Seorang ahli politik tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penyamaran teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi dua akaun TikTok palsu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, laporan itu dibuat kira-kira pukul 12 tengah hari semalam selepas pengadu yang berusia 50 tahun dimaklumkan mengenai kewujudan akaun tersebut pada kelmarin.
“Pada pukul 10.30 malam, semasa pengadu berada di rumah di Kulim pengadu dimaklumkan oleh Ahli UMNO Bahagian Padang Serai bahawa terdapat dua akaun TikTok palsu yang menggunakan nama, gambar, serta mencipta suara penyamaran (video AI) pengadu tanpa kebenaran.
“Akaun tersebut didaftar atas nama akaun TikTok 1: Tiktok.com/@chegumadi dan akaun TikTok 2: tiktok.com/@cheggumadi,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pengadu juga risau akaun-akaun tersebut digunakan untuk memperdaya orang ramai kononnya melibatkan pengadu dalam urusan bantuan kewangan. – KOSMO! ONLINE