PETALING JAYA – Meskipun sebelum ini netizen Malaysia dan Indonesia sering ‘berperang’ di media sosial, namun sejak negara jiran dilanda krisis ramai rakyat negara ini bersatu hati membantu mereka.
Buktinya, menerusi satu hantaran di aplikasi Thread, seorang pengguna dikenali sebagai Larasatipusparasa mendedahkan ramai rakyat Malaysia tampil membantu pemandu e-hailing di negaranya.
“Satu Indonesia harus tahu bahawa negara tetangga (jiran) kita, Malaysia sedang berbondong-bondong (berduyun-duyun) membantu rakyat Indonesia terutama pemandu Grab di Jakarta.
“Mereka ubah lokasi mereka ke Jakarta dan order (membuat pesanan) Grabfood dan dibagikan kepada pemandu-pemandu Grab dan gojek yang ada di Jakarta,” katanya.
Larasatipusparasa berkata, dia berasa terharu dengan bantuan tersebut dan menghargai sumbangan daripada rakyat Malaysia.
“Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Malaysia yang support (sokong) rakyat Indonesia. Lagi sekali terima kasih banyak-banyak untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut bersimpati dengan nasib yang dialami rakyat negara jiran ketika ini.
“Selain nasi bungkus boleh juga bagi beras, telur atau makanan segera. Cara lebih kurang sama macam kita beli guna aplikasi Grab, pilih kedai mana-mana yang jual barangan kering.
“Insya-Allah yang mana ada rezeki lebih bolehlah bagi makanan asas supaya mereka boleh bawa balik ke rumah dan menjamu lebih ramai ahli keluarga mereka,” cadang meowcarelove. – KOSMO! ONLINE
View on Threads