KUALA TERENGGANU – Lebih 10,000 termasuk pelancong teruja menyaksikan perarakan bot berhias sempena Hari Kebangsaan ke-68 semalam.
Sebanyak 91 kenderaan air pelbagai jenis termasuk bot laju dan nelayan serta jet ski dihias dengan Jalur Gemilang dan bendera-bendera negeri menyelusuri muara Sungai Terengganu berlatar belakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Perarakan bermula dari empat jeti berasingan iaitu Pengkalan Pok Awang, Losong di sini; Jeti Kampung Batin, Kuala Nerus; Pulau Kekabu, Marang dan Pengkalan Tanjung Gelam, Setiu.
Salah seorang pelancong, Mohd. Mustazary Ali Musa, 41, dari Puncak Alam, Selangor teruja pertama kali menyaksikan perarakan bot merdeka terbabit.
“Saya dalam perjalanan menghantar ibubapa pulang ke kampung halaman di Kedah singgah sebentar ke bandar raya ini untuk menyaksikan perarakan bot merdeka ini.
“Ia pengalaman unik dalam sambutan Hari Kebangsaan yang sukar diperolehi di kawasan lain,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Awang Shahrul Mohd., 50, dari Temerloh, Pahang, pula memilih untuk turut serta buat pertama dalam perarakan tersebut.
“Saya bergabung denhan seorang rakan yang merupakan penduduk tempatan untuk menghias botnya bagi menyertai pertandingan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE