IPOH – Cabaran menguruskan TAJ International College (Kolej Antarabangsa TAJ) atau lebih dikenali sebagai TIC, instisusi pendidikan swasta yang telah berusia hampir tiga dekad memerlukan satu pendekatan holistik dan bersifat progesif.
Tidak mempunyai sumber geran atau dana kerajaan, pengurusan TIC bersifat kompleks iaitu perlu mempelbagaikan teras perniagaan agar terus kekal revelan dalam dunia pendidikan yang mencabar.
Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin, 50, berkata, antara usahanya adalah menawarkan program yang mendapat permintaan tinggi dalam ekosistem pekerjaan sekarang iaitu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak, pengurusan automatif keusahawanan dan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Strategi ini terbukti berkesan dengan kebolehanpasaran graduan terkini sebanyak 85 peratus selepas menamatkan pengajian.
“Setakat ini, lebih 10,000 alumni telah dilahirkan yang mana ada antara mereka berjaya dalam perniagaan sendiri selain menjawat jawatan profesional melibatkan sektor awam atau swasta,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kolej itu baru-baru ini.
Menawarkan lebih 20 program meliputi diploma dan sijil profesional, TIC merupakan kolej swasta pertama di negara ini yang mendapat akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi Diploma Pengurusan Automotif.
Tina berkata, TIC turut dilantik sebagai penyedia latihan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebagai antara pemangkin yang menarik minat lebih 1,000 pelajar tempatan dan antarabangsa dari Asia Tenggara melanjutkan pengajian.
Melalui kekuatan 50 warga kerja akademik dan pentadbiran, TIC yang ditubuhkan pada 1996 dengan modal Tina sendiri, pinjaman SME Bank dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak bergantung dengan yuran pelajar dan kreativiti komersial semata-mata.
“Isu pasaran, tenaga kerja, modal dan persaingan memang tidak dapat dielakkan, apa yang penting ialah menyesuaikan diri, berfikir kreatif, mencari peluang baharu serta terus berusaha untuk kekal relevan dan bertahan.
“Selain daripada kolej, kami turut mempunyai sayap perniagaan lain iaitu pengurusan acara, latihan kemahiran, kursus, tadika, taska, program wanita dan komuniti bagi menjamin sumber kewangan bersifat mampan,” katanya.
Tambah beliau, langkah penjimatan berdisiplin kewangan terus diperkukuhkan dengan mengawal kos operasi, mempraktikkan sistem digital bagi mengurangkan penggunaan kertas selain memastikan perbelanjaan secara berhemah.
“Selepas pandemik Covid-19, memang agak mencabar untuk kembali kepada momentum sebelum 2021 namun dengan pengurusan berhemat TIC yakin prospek yang cerah pada masa depan.
“Kami juga sedang meneroka peluang pembiayaan melalui pinjaman serta kerjasama strategik melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerjasama mobiliti dengan instisusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara,” katanya.
Tambah beliau, walaupun bersifat komersial dan bermotifkan keuntungan, TIC turut menerapkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai sumbangan kepada rakyat negeri tidak berkemampuan menerusi terutama golongan B40 melalui program biasiswa dalaman, inisiatif TIC Prihatin serta latihan keusahawanan wanita.
“Malah, semua pelajar baharu TIC akan didedahkan dengan pendekatan belajar dan bekerja (learn and learn) sebagai inisiatif menjana pendapatan sampingan.
“Pendekatan ini untuk mewujudkan pelajar bebas hutang semasa melanjutkan pengajian selain mendedahkan mereka dengan pengalaman kerja termasuk melunaskan pinjaman pendidikan,” katanya.
Ibu kepada lima anak ini berkata, TIC sedang meneroka secara serius dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi digitalisasi penuh operasi dan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kami sedang meneroka model kampus pintar dengan aplikasi digital pelajar. Setakat ini dengan keluasan lebih 2.02 hektar capaian internet tanpa wayar tersedia.
“Sokongan pembelajaran digital terus diperkasa dengan penerapan sistem dalam talian, e-pembelajaran, chatbox akademik, modul interaktif dan pengajaran secara hibrid,” katanya.
Tambah Tina, aspek interaksi secara fizikal tidak dilupakan dengan mewujudkan suasana pembelajaran seimbang yang bukan sahaja menekankan akademik tetapi kemahiran keusahawanan, latihan industri dan pembinaan sahsiah pelajar.
Pihaknya bercadang menawarkan kursus baharu berkaitan TVET dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang melibatkan pelajar prasekolah.
Bagi TIC pula program TVET berkaitan hospitaliti dan perkhidmatan makanan serta keusahawan digital dan e-dagang akan diperkenalkan.
Berhubung perancangan strategik pada masa depan, Tina memaklumkan idea cawangan baharu untuk memperkembangkan lagi TIC tertakluk kepada kajian pasaran dan kemampuan modal tetapi beliau tidak menolak untuk melaksanakan sebarang kerjasama pelaburan pintar atau rakan strategik yang ingin bergabung berdasarkan situasi menang-menang. -KOSMO! ONLINE