KUALA LUMPUR – Pasukan hoki lelaki kebangsaan menamatkan aksi peringkat kumpulan B saingan Piala Asia 2025 dengan prestasi cukup meyakinkan selepas membelasah Taiwan 15-0 hari ini.
Kemenangan itu memastikan Speedy Tigers mengekalkan rekod bersih pada kejohanan tersebut selepas turut menewaskan Bangladesh dan Korea Selatan dalam dua perlawanan terdahulu.
Paling mencuri tumpuan dalam perlawanan hari ini adalah Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang melakukan lima jaringan, diikuti empat gol Mohamad Ashran Hamsani.
Turut mencetak nama selaku penjaring adalah Norsyafiq Sumantri yang meledak tiga gol selain masing-masing satu gol Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Andywalfian Jeffrynus dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.
Skuad kendalian Sarjit Singh itu meneruskan kemaraan ke saingan Super 4s yang dijadualkan bermula Rabu ini dengan diiringi Korea Selatan selaku naib juara Kumpulan B.
Setakat ini, tiga pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke saingan Super 4s, termasuk Malaysia, Korea Selatan dan India dengan satu slot lagi bakal menjadi rebutan antara China dan Jepun.
Sebagai rekod, juara saingan Piala Asia akan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belgium/Belanda tahun depan. – KOSMO! ONLINE