JAKARTA – Indonesia mewajibkan semua pengembara antarabangsa untuk melengkapkan pengisytiharan ketibaan melalui aplikasi All Indonesia bermula hari ini, lapor portal berita Jakarta Globe.
Syarat itu terpakai di beberapa lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Soekarno-Hatta (Tangerang), Lapangan Terbang Juanda (Surabaya), Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai (Bali) dan Pelabuhan Batam.
Pelaksanaan ke semua lapangan terbang dan pelabuhan antarabangsa akan menyusul.
Ketua Pengarah Imigresen, Yuldi Yusman berkata, aplikasi itu memudahkan penumpang mengisi deklarasi imigresen, kastam, kesihatan dan kuarantin dalam satu borang digital.
“Penumpang boleh melengkapkan pengisytiharan secara percuma sehingga tiga hari sebelum ketibaan.
“Selain memendekkan proses ketibaan dan selamat, aplikasi ini juga mesra pengguna untuk semua penumpang termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” kata Yuldi.
Aplikasi itu turut menyediakan saringan kesihatan bagi penyakit berjangkit serta laporan haiwan dan produk bagi menyokong pemantauan kuarantin dan keselamatan makanan.
“Ia bukan sahaja mengenai kemudahan tetapi setiap data yang diserahkan membantu memastikan keselamatan, kesihatan dan integriti sempadan kita,” tambah Yuldi. – AGENSI