GERIK – Pendarahan serius yang dialami seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membawa kepada penemuan mayat bayi baru lahir di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 5.30 petang selepas dihubungi Klinik Kesihatan RPS Kemar.
“Kejadian terbongkar selepas remaja Orang Asli itu datang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan RPS Kemar dan memberitahu dia mengalami sakit di bahagian kemaluan.
“Pemeriksaan mendapati remaja itu mengalami pendarahan serius dan terdapat koyakan besar pada kemaluannya,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal, mangsa mengakui dia baru bersalin secara bersendirian dan membuang bayi lelakinya di belakang rumah.
Katanya, bertindak atas maklumat polis yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai bayi malang itu, namun disahkan telah meninggal dunia.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat. – KOSMO! ONLINE














