BUKIT KAYU HITAM – Seorang pelajar sekolah berusia 19 tahun merupakan antara 23 individu yang ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas didapati positif dadah dalam Ops Merdeka bermula semalam.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu ditahan bersama teman lelakinya berusia 25 tahun yang turut positif dadah jenis ekstasi.
“Pasangan kekasih itu menaiki motosikal untuk berhibur di Danok bersama dua rakan mereka yang juga pasangan kekasih sejak petang Sabtu lalu sempena cuti Hari Kebangsaan semalam.
“Mereka ditahan ketika masuk ke sini pada pukul 6 pagi. Rakan mereka yang berusia 25 dan 30 tahun turut positif ekstasi. Mereka mengaku mengambil barang terlarang itu ketika berhibur di sana,” katanya ketika ditemui di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam hari ini.
Menurut Khairul Anwar, seramai 23 individu berusia 18 hingga 40 tahun ditahan termasuk dua wanita. Kebanyakan mereka mengaku kali pertama mencuba dadah atau hanya mengambil bahan terlarang itu di pusat hiburan untuk tujuan keseronokan.
“Hasil soal siasat mendapati Danok menjadi lokasi kegemaran mereka untuk melakukan aktiviti tidak bermoral itu kerana mereka ke sana hanya untuk berhibur,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 30 buah kereta dan 15 motosikal diperiksa dalam operasi tersebut yang disertai oleh tiga pegawai dan 12 anggota AADK Kedah. – KOSMO! ONLINE