Terlibat secara langsung dalam pembinaan sebuah resort milik DRB-HICOM di Tasik Kenyir, Terengganu dan berguru dengan seorang Pengurus Besar ‘Mat Saleh’ dari Australia dalam kerjaya awalnya dalam bidang perhotelan adalah antara kenangan manis bagi Yusli Yunus.
Kurang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris tidak dijadikan sebab bagi majikannya itu meminggirkan beliau daripada tugasan sukar tetapi bertujuan untuk mematangkan dirinya.
Namun, berkat semangat juang selama 28 tahun dengan disiplin yang tinggi dalam mempertingkatkan pengetahuan, pengalaman dan kemahirannya membolehkan anak jati Kajangberusia 52 tahun ini, berjaya meredah semua cabaran sehingga kini duduk di kerusi empuk Pengurus Besar Park Inn by Radisson Putrajaya sejak setahun sebulan yang lalu.
Beliau yang menjadikan beberapa nama individu penting dalam hotel sebagai mentor, mahu menjadikan kakitangannya sebagai seorang pekerja yang berdaya saing dan berjaya.
“Saya mahu tinggalkan sesuatu yang terbaik buat mereka,” katanya kepada KOSMO!.
Baru-baru, ini Yusli telah menerima anugerah Asia’s Most Influential General Managers di CMO Asia Award 2025 di Singapura, menganggap anugerah ini adalah kejayaan semua dengan sistem sokongan yang kuat daripada kakitangan yang membantu beliau mencapai misi sekali gus menjadikan imej hotel tersebut semakin
mengukuh.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang pengalaman dalam bidang perhotelan?
YUSLI: Saya berada dalam bidang ini lebih kurang 28 tahun yang mana saya memulakan kerjaya sejak tahun 1997 di DRB-HICOM Berhad dan saya berpeluang bekerja di bawah pengurusan Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad.
Meskipun arwah sudah tiada, kami tetap meneruskan misinya itu untuk menjadikan Terengganu dan Pulau Langkawi sebagai hab pelancongan, jadi disitulah terbinanya Rebak Island Resort & Marina di Langkawi dan Lake Kenyir Resort tetapi Lake Kenyir Resort telah ditutup. Saya juga pernah bekerja beberapa hotel terkemuka seperti AnCasa Hotel, Impiana Hotel & Resort, Kuala Lumpur, Marriot International, Swiss-Bellhotel International.
Kenapa pilih Park In by Radisson?
Saya mahu menimba lebih banyak pengalaman sebab dalam industri perhotelan dan hospitaliti ini, banyak perkara baharu yang perlu dipelajari setiap hari, tidak kira bekerja di hotel jenama yang diuruskan oleh syarikat antarabangsa ataupun lokal tetapi semua itu adalah untuk pengalaman yang akan dapat mematangkan diri kita.
Untuk kumpulan Radisson, ia adalah sebuah rangkaian perhotelan yang besar dari Amerika Syarikat, buat masa ini terdapat kira-kira 1,000 rangkaian di seluruh dunia dengan terdapat kira-kira 40 rangkaian hotel di Asia, ia sedang pesat mengembangkan penguasaan pasarannya.
Jadi di Malaysia ia memiliki satu hotel bertaraf empat bintang di sini iaitu Park In by Radisson dan tidak lama lagi ia akan membuka hotelnya masing-masing di Pulau Pinang dan Johor.
Jadi jenama Radisson itu sendiri sudah dikenali ramai, maka jenamanya begitu kukuh membuatkan tetamu atau pelanggan sudah dapat memahami standard hotel ini dengan tawaran layanan mesra yang diberikan.
Bersandarkan pengalaman bekerja di hotel bertaraf lima bintang sebelum ini, bagaimana perbezaannya menguruskan hotel empat bintang?
Ya lebih mudah menguruskan hotel seperti ini, malah hotel bertaraf empat bintang seperti berada di peringkat pertengahan. Ia mampu memenuhi semua keperluan pelanggan daripada pelbagai bajet khususnya yang bertaraf pendapatan sederhana dan juga kepada yang berpendapatan tinggi, yang mana kumpulan ini meliputi ramai orang.
Apakah pencapaian hotel di bawah pengurusan tuan?
Selepas setahun sebulan saya berkhidmat di sini, pendapatan hotel telah meningkat sebanyak 20 peratus, Ini disumbangkan oleh pelbagai inisiatif, promosi dan pemasaran serta kerjasama kami dengan semua pihak penganjur atau pengurusan program melibatkan antarabangsa dan lokal di beberapa pusat persidangan popular berdekatan dengan hotel.
Ia terdiri daripada Pusat Persidangan Mines, Sungai Besi, Pusat Persidangan Putrajaya dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia. Satu lagi kami berjaya memiliki sejumlah kumpulan pelanggan yang berkunjung kembali ke hotel ini.
Selalunya dalam industri ini, apabila kadar kujungan semula itu berada dalam kadar peratusan yang baik, jadi ia satu pencapaian yang membanggakan.
Sebagai contoh, sekiranya daripada 10 yang datang berkunjung dan tiga daripada mereka datang lagi ke hotel tersebut, jadi ia adalah satu kejayaan, jika kadar itu lebih besar maka pencapaiannya juga lebih baik.
Adakah lokasi juga memainkan peranan dalam inisiatif mencapai kejayaan ini?
Hotel ini sebenarnya berada di pertengahan iaitu antara Kuala Lumpur dengan Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia bersesuaian dengan keperluan sesetengah pengembara atau pelancong. Ada daripada mereka tidak suka kepada kesesakan di kawasan bandar, jadi ini adalah pilihan hotel mereka kerana ia berdekatan dengan KLIA dengan hanya mengambil masa sekitar 45 minit.
Selain itu, kami juga menjadi pilihan ejen pelancongan yang membawa pelancong yang tiba pada waktu tengah malam untuk menginap di sini ataupun untuk kumpulan pelancong yang terpaksa bergerak awal pagi ke KLIA.
Apakah kadar penginapan hotel pada masa sekarang?
Lebih kurang 60 hingga 65 peratus pada hari bekerja, manakala pada hari cuti hujung minggu boleh capai sehingga 85 peratus. Harga bilik secara purata adalah kira-kira RM230 semalam dan kami memiliki 220 bilik dalam bangunan setinggi lapan tingkat ini.
Hampir 80 peratus adalah daripada tetamu lokal dan bakinya adalah dari pelancong luar negara yang mana sebahagian besarnya iaitu 50 peratus adalah mewakili pelancong dari China.
Hotel ini menjadi pilihan syarikat korporat dan swasta serta kerajaan yang mana 80 peratusnya diwakili oleh program berkaitan mesyuarat dan penganjuran program.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam era moden masa kini?
Tetamu adalah cabaran utama yang mana mereka kini lebih pandai, lebih ‘demand’ dan lebih terdedah kepada pelbagai pengalaman dan pengetahuan, tetapi kami mampu berdepan dengan situasi tersebut yang mana kami mengutamakan layanan mesra pelanggan, mengukuhkan komunikasi agar keperluan dan kehendak mereka dapat dipenuhi dengan sebaiknya.
Kami mahu sebaik mereka melangkah masuk ke hotel, ia boleh diibaratkan sebagai mereka pulang ke rumah. -KOSMO! ONLINE