PETALING JAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang berlayar bagi memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza perlu diberi jaminan keselamatan oleh masyarakat antarabangsa.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, flotila tersebut telah memulakan pelayaran bersejarah dengan membawa makanan, ubat-ubatan serta bantuan asas untuk rakyat Palestin yang kini berdepan bencana kemanusiaan akibat kepungan dan kekejaman rejim Zionis.
Beliau berkata, misi berkenaan adalah gabungan masyarakat sivil antarabangsa, aktivis, profesional perubatan serta pejuang hak asasi manusia yang bersatu di bawah semangat Sumud atau ketabahan, simbol ketahanan, maruah dan komitmen terhadap keadilan Palestin.
“Global Sumud Flotilla adalah misi aman yang mematuhi undang-undang antarabangsa serta hak maritim. Sebarang cubaan menghalang, menyerang atau mensabotaj misi ini adalah pencabulan terhadap prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan dunia digesa segera memastikan keselamatan semua delegasi kerana tujuan mereka hanyalah membawa bantuan kemanusiaan dan menyatakan solidariti terhadap penduduk Gaza.
“Sekiranya Israel melakukan serangan atau tindakan lanun terhadap flotila ini, dunia mesti memegang mereka bertanggungjawab sebagaimana insiden lalu yang meragut nyawa aktivis kemanusiaan,” katanya.
Tambahnya, Mapim menyeru kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, media serta masyarakat antarabangsa supaya berdiri teguh bersama delegasi flotila, menuntut laluan selamat konvoi bantuan serta mengecam sebarang tindakan ganas terhadap orang awam. – KOSMO! ONLINE