PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia dan China mampu berdiri setara dengan penuh hormat serta keikhlasan meskipun berbeza dari segi saiz dan kekuatan ekonomi.
Menurut beliau, asas kepercayaan yang terjalin sejak Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada tahun 1974 kini berkembang menjadi hubungan strategik yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
“Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa kita boleh bekerjasama erat tanpa rasa rendah diri atau mendominasi antara satu sama lain,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, sebuah institusi berusia lebih 130 tahun, hari ini.
Anwar berkata, daripada hubungan bersejarah itu lahir pelbagai bentuk kerjasama termasuk projek infrastruktur mega, pembangunan tenaga hijau, ekonomi digital serta kemudahan perjalanan rakyat kedua-dua negara.
Beliau menegaskan, di tengah-tengah suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, keikhlasan persahabatan Malaysia–China menjadi sesuatu yang amat berharga.
“Malaysia menawarkan jalan berbeza, iaitu kedaulatan dalam kebergantungan. Kita boleh kekal dengan pendirian sendiri, namun terbuka kepada perdagangan, sumber dan teknologi demi kemakmuran bersama,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa Asia mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan aturan ekonomi baharu tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina jambatan kerjasama.
“Perpecahan bukan takdir. Jika semangat ini diteguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, dan Malaysia–China akan terus menjadi tonggak persahabatan serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE.