KUANTAN – Seorang kerani berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM299,646 lesap selepas dia terperdaya dengan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 1 Ogos lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 52 tahun berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi TikTok.
“Suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang kerja sambilan melalui pautan aplikasi yang menyerupai satu platform jualan borong.
“Mangsa kemudian menerima satu pautan laman web daripada suspek dan membuat pendaftaran pada laman tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu atas nama tempahan pelanggan kononnya bagi urusan jualan.
Katanya, mangsa kemudiannya telah melakukan sebanyak 16 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM299,646 menggunakan wang simpanan sendiri.
Namun katanya, selepas itu mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan berasa tertipu.
Sementara itu katanya, pihak polis menasihatkan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.
“Sebelum melakukan sebarang transaksi semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE