KOTA BHARU – Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas dekat sini kira-kira 12 tahun lalu menyerahkan memorandum tuntutan berkaitan kes berkenaan kepada kerajaan Kelantan.
Penyerahan memorandum bagi menuntut penjelasan dan komitmen kerajaan negeri berhubung kejadian itu dijalankan di hadapan Kompleks Kota Darulnaim di sini oleh ibu bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ruhani Hussin serta barisan 10 peguam keluarga diketuai Tengku Shazuan Tengku Shariffudin kepada Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Anas Rizuan Shamsuddin.
Tengku Shazuan berkata, tindakan itu dibuat berikutan lokasi kejadian itu sebuah sekolah menengah agama bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Barisan peguam mewakili keluarga Allahyarham belum membuat prosiding saman ke atas kerajaan negeri. Saman pertama yang difailkan adalah terhadap kerajaan Persekutuan.
“Pihak kami (peguam) masih lagi berbincang mengenai beberapa isu yang memerlukan penjelasan dan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyerahkan memorandum tuntutan kepada kerajaan negeri di hadapan Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Tengku Shazuan memberitahu, memorandum tersebut turut menggariskan beberapa perkara penting antaranya melibatkan perobohan lokasi kejadian iaitu tandas asrama di mana jasad Wan Ahmad Faris ditemui kira-kira dua atau tiga minggu selepas kejadian tanpa alasan munasabah.
Katanya, kelemahan pihak sekolah sendiri untuk menyediakan rekod keluar masuk pelajar dan ketiadaan siasatan terhadap isu pergaduhan yang berlaku sebelum penemuan jasad Wan Ahmad Faris turut dimasukan ke dalam memorandum tersebut. – KOSMO! ONLINE