BANDAR GAZA – Israel mendakwa bahawa jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Obeida terbunuh dalam serangan udara di Bandar Gaza, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Menteri Pertahanan Israel Katz mengumumkan perkara itu di platform X.
Hamas belum mengesahkan kematian Abu Obeida.
Kumpulan bersenjata Palestin bagaimanapun sebelum ini berkata, berpuluh-puluh orang awam terbunuh dan cedera dalam serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman di Bandar Gaza.
Abu Obeida adalah antara beberapa anggota kanan sayap tentera Hamas yang masih tinggal selepas serangan mautnya pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Sejak beberapa tahun lalu, beliau yang dipercayai berusia kira-kira 40 tahun, menyampaikan pengumuman dan amaran terhadap Israel bagi pihak sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam.
Dengan sentiasa menutup mukanya menggunakan selendang Palestin, Abu Obeida menjadi idola kepada penyokong Hamas di seluruh Asia Barat. – AGENSI