JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut tidak melepaskan peluang untuk ‘berbelanja’ pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) selepas mendapatkan khidmat pemain berpengalaman Sepanyol, Ager Aketxe.
Pengesahan itu dibuat oleh pasukan Real Zaragoza yang beraksi di Liga Divisyen 2 Sepanyol sebelum jendela perpindahan Liga M ditutup secara rasmi pada 31 Ogos.
“Real Zaragoza dan JDT telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Ager Aketxe.
“Aketxe telah menyertai Zaragoza pada tahun lalu daripada kelab Eibar dan berjaya membuat 38 penampilan kompetitif.
“Kami ucapkan terima kasih atas sikap profesional Aketze sepanjang bersama pasukan dan selamat maju jaya untuk fasa baharu dalam kariernya,” jelas kelab itu dalam satu kenyataan ringkas.
Berdasarkan laman statistik transfermarkt.com, Aketxe memiliki tanda harga pasaran sebanyak €800,000 (RM3.9 juta) dan pernah mewakili kelab berpengaruh La Liga, Athletic Bilbao pada musim 2014 hingga 2018.
Selepas itu, karier Aketxe agak mendatar apabila hanya beraksi di saingan divisyen 2 bersama Cadiz, Deportivo La Coruna, Almeria selain pernah berkelana ke Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) Toronto FC.
Kehadiran Aketxe yang kini berusia 32 tahun itu menguatkan lagi pasukan Harimau Selatan dalam usaha mengekalan gelaran trebel Liga M yang dimenangi musim lalu dengan mendominasi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Malah, JDT turut dijangka mencabar saingan bola sepak serantau apabila turut bersaing dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.