PORT DICKSON – Seorang lelaki sempat menghubungi bapanya sebelum ditemukan maut bersama kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan ibu saudara dalam rumah sewa mereka di Taman Tanjung di sini Jumaat lalu.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 38 hingga 56 tahun ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian di dalam bilik tidur dan ruang tamu.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui mengenai kematian tiga sekeluarga itu kira-kira pukul 11 malam selepas penduduk di kawasan taman berkenaan apabila kejiranan mereka kecoh dengan kejadian mengejut tersebut.
Dakwanya, wanita berusia 56 tahun itu merupakan penjual nasi lemak.
“Saya mengenali mereka lebih 10 tahun, selalu beli nasi lemak yang dijual wanita itu pada waktu pagi. Dia tinggal bersama dua anak saudara, seorang wanita OKU manakala seorang lagi lelaki bekerjaya.
“Mereka bertiga baik dan saling dilihat saling menjaga antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Taman Tanjung, di sini, semalam.
Dakwanya, penjual nasi lemak itu dikatakan telah meninggal beberapa hari berikutan mayatnya telah berbau.
“Saya dapat tahu lelaki itu hubungi bapanya menyuruh datang ke rumah sewa berkenaan sekitar pukul 10 malam dan setibanya di sana, dia terkejut melihat keadaan ketiga-tiga mereka,” ujarnya.
Sementara itu, seorang jiran lain berusia 60-an memberitahu, ibu saudara kepada dua beradik itu merupakan seorang yang pemurah dan sering menghantar juadah kepada penduduk sekitar.
“Walaupun kurang berkemampuan tetap juga dia memberi makanan kepada kami. Malah, yang anak saudaranya yang lelaki pun saya nampak petang sebelum kejadian sempat memetik bunga,” ujarnya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Hospital Port Dickson kira-kira pukul 12.20 tengah malam berkenaan kematian dua wanita dan seorang lelaki tempatan.
Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis mendapati dua mayat dijumpai di bahagian ruang tamu rumah dan satu mayat di atas katil dalam bilik tidur.
“Ketiga-tiga mayat dalam keadaan terlentang dengan lengkap berpakaian. Ketiga-tiga si mati berusia dalam lingkungan 38 tahun sehingga 56 tahun dan kesemuanya mempunyai pertalian keluarga.
“Salah seorang si mati juga dikenal pasti mempunyai penyakit kronik dan seorang lagi merupakan orang kurang upaya (sindrom),” katanya.
Ujar Alzafny lagi, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kesemua tubuh badan si mati tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan (defensive wound) atau perlakuan jenayah.
Selain itu menurutnya, tiada sebarang kesan geledah atau kehilangan barang-barang peribadi milik si mati dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE