SANA’A – Houthi menyerbu pejabat dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota Yemen, Sana’a semalam, sehari selepas Israel membunuh Perdana Menteri kumpulan pemberontak itu, Ahmad Ghaleb al-Rahwi, lapor saluran berita CNN.
Pejabat Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dimasuki oleh ‘pasukan keselamatan tempatan’ pada pagi Ahad (semalam), kata jurucakap dua agensi itu kepada CNN.
Seorang kakitangan WFP ditahan, selain beberapa kakitangan UNICEF, demikian menurut kenyataan itu.
Utusan Khas PBB untuk Yemen, Hans Grundberg kemudian mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 11 kakitangan PBB telah ditahan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Houthi serta menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat mereka yang ditahan oleh kumpulan pemberontak tersebut.
Guterres menyatakan bahawa pihak yang bekerja untuk PBB, NGO, masyarakat sivil dan misi diplomatik telah ditahan sewenang-wenangnya di Yemen sejak 2021.
“Kakitangan PBB dan rakan-rakannya tidak boleh menjadi sasaran, ditangkap atau ditahan semasa menjalankan tugas mereka untuk PBB.
“PBB akan terus bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memastikan pembebasan yang selamat dan segera bagi semua individu yang ditahan sewenang-wenangnya,” kata Guterres.
Tidak jelas sama ada serbuan itu berkaitan dengan serangan Israel, namun Houthi sebelum ini pernah menyasarkan PBB dan organisasi antarabangsa lain.
Grundberg berkata, Houthi telah menahan 23 kakitangan PBB, dengan beberapa orang sejak 2021 hingga 2023. Pada Januari lalu, kumpulan tersebut menahan lapan pekerja PBB, lapor agensi berita AFP. – AGENSI