MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim akhirnya memiliki peluang untuk meraikan sesuatu selepas tiga aksi saingan Liga Perdana Inggeris apabila pasukannya mencatat kemenangan 3-2 ke atas Burnley kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu, The Red Devils terpaksa mengharapkan sepakan penalti kapten mereka, Bruno Fernandes pada masa kecederaan untuk memenangi perlawanan itu.
Bagaimanapun, prestasi dipamerkan masih jauh daripada yang diharapkan apabila prestasi penjaga gol terus menghantui United selepas Altay Bayindir gagal beraksi cemerlang biarpun dipilih menggantikan Andre Onana.
“Kami berdepan situasi di mana apabila pasukan lawan menghampiri kotak penalti kami, mereka berpeluang untuk menjaringkan gol. Saya fikir sangat sukar menjadi penjaga gol Manchester United ketika ini.
“Di Manchester United, semuanya menjadi bahan berita. Semua orang bercakap mengenai penjaga gol. Pemain berdepan kesukaran dengan semua berlaku di sekeliling kelab ini, tetapi itu adalah perkara biasa,” katanya.
Pada aksi kelmarin, Bayindir melakukan kesilapan ketika Burnley meledak gol kedua sekali gus menyebabkan ramai pihak percaya Amorim perlu melakukan sesuatu untuk posisi berkenaan termasuk membawa masuk pemain baharu.
Sementara itu, Amorim mengakui masih belum mendapat maklumat tepat mengenai tahap kecederaan dua pemainnya, Matheus Cunha dan Mason Mount yang terpaksa dikeluarkan pada babak pertama perlawanan.
Situasi itu menambah kerumitan buat pengendali dari Portugal itu ketika United bakal beraksi dalam perlawanan derbi Manchester menentang Manchester City selepas ini, selain perkembangan itu juga menyebabkan mereka mungkin tidak akan melepaskan khidmat Kobbie Mainoo yang bersedia untuk meninggalkan Old Trafford. – AGENSI