LONDON – Transformasi permainan Enzo Fernandez menjadi kunci utama kepada kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, kelmarin.
Pengurus The Blues, Enzo Maresca mengakui kualiti Fernandez tidak cukup bagus ketika aksi separuh masa pertama, namun gaya permainannya berubah pada babak kedua sekali gus membantu Chelsea untuk mencatat kemenangan.
Maresca juga menjelaskan kekecewaan Fernandez di babak pertama terserlah apabila pemain itu menyerahkan lilitan kapten kepada jurulatih kecergasan, Marcos Alvarez ketika tamat separuh masa sebagai tanda dia juga kecewa dengan prestasinya sendiri.
“Jawapannya adalah dia pemenang Piala Dunia dan saya fikir dia pemain tunggal yang memenangi dua kejuaraan itu (dengan Argentina dan Chelsea), namun dia sedar dia tidak bermain baik.
“Mungkin dia kecewa disebabkan itu di babak pertama. Pada akhirnya kami berjaya memperoleh kemenangan dan Enzo juga cukup gembira,” katanya.
Pada perlawanan kali ini, beberapa keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) mewarnai kemenangan Chelsea yang sebelum itu memperoleh jaringan menerusi Joao Pedro dan sepakan penalti Fernadez.
Bagaimanapun, Maresca berdepan berita kurang baik apabila penyerangnya, Liam Delap mengalami kecederaan dan mungkin terpaksa disisihkan selama enam ke lapan minggu. – AGENSI