JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membatalkan beberapa keistimewaan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebagai usaha untuk meredakan kemarahan rakyat dan protes yang meragut enam nyawa, lapor akhbar The Guardian.
Prabowo menyatakan bahawa beliau dan pemimpin-pemimpin parti politik bersetuju untuk memansuhkan elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah (RM13,000) dan moratorium perjalanan ke luar negara.
“Ahli Parlimen akan menyaksikan elaun tertentu dibatalkan, manakala perjalanan kerja ke luar negara digantung di bawah moratorium baharu,” kata Prabowo semasa sidang akhbar di Jakarta semalam.
Rusuhan secara besar-besaran sejak minggu lalu memaksa Prabowo menangguhkan lawatan ke China, selain bertemu dengan 16 tokoh agama serta lapan pemimpin parti politik termasuk bekas Presiden, Megawati Sukarnopurti.
Siri demonstrasi selama lima hari bermula Isnin lalu itu tercetus apabila Prabowo mengumumkan kesemua 580 ahli Parlimen menerima elaun tersebut yang hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta.
Protes semakin mengganas berikutan insiden seorang pemandu teksi motosikal, Affan Kurniawan dilanggar oleh kenderaan taktikal polis.
Prabowo menegaskan bahawa kerajaan menghormati kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam perlembagaan Indonesia dan konvensyen antarabangsa.
“Namun, apabila demonstrasi bertukar anarki, memusnahkan kemudahan awam, membahayakan nyawa dan menyerang rumah persendirian atau institusi awam, ia menjadi pelanggaran undang-undang yang serius,” katanya. – AGENSI