fbpx
KEADAAN kedai yang rosak akibat diletakkan bahan letupan di Panorama Lapangan Perdana, Ipoh semalam.

Dua lelaki letupkan kedai di Ipoh diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam letupan di sebuah premis perniagaan di Panaroma Lapangan Perdana di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kejadian pada pukul 4.58 pagi itu dilaporkan kepada pihak polis oleh seorang wanita berusia 43 tahun.

Katanya, wanita itu memberitahu yang dia dimaklumkan oleh jirannya mengenai kejadian tersebut selepas melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

“Rakaman tersebut menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah meletakkan satu objek dipercayai bahan letupan di hadapan premis sebelum beredar.

“Tindakan suspek itu menyebabkan kerosakan pada pintu roller shutter dan lantai hadapan premis, manakala kedai bersebelah pula rosak pada papan tanda dan dinding.

“Pemeriksaan awal oleh Unit Post Balistic Investigation (PBI) dan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati kejadian berpunca daripada bahan letupan tahap rendah iaitu ‘pyrotechnic flash bang grenade stun’ atau bom tangan pegun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bahan letupan itu bukan bertujuan mencederakan atau membunuh, sebaliknya digunakan untuk menakutkan dan menyebabkan kerosakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 011-1125 6246 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI