PETALING JAYA – Malaysia terus menerima limpahan pelaburan dari China apabila syarikat Rianlon Corporation menyatakan komitmen bernilai RM820 juta untuk membangunkan kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sekali gus mengangkat Johor sebagai hab teknologi baharu negara.
“Rianlon merupakan peneraju global dalam bahan tambahan anti-penuaan untuk polimer dan kosmetik. Komitmen ini membuktikan keyakinan pelabur China terhadap Malaysia,” tulis beliau di laman sosial.
Terdahulu, Anwar telah bertemu wakil syarikat tersebut di Tianjin, hari ini.
Dalam pertemuan berasingan bersama China Communications Construction Company Limited (CCCC), Anwar meneliti perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini menjadi lambang persahabatan Malaysia–China di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).
“Insya-Allah, ECRL bakal merapatkan jurang pembangunan wilayah dan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Madani akan terus merancakkan pelaburan, memberdaya sektor berteknologi tinggi serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia – China yang berakar pada sejarah panjang.
“Ini sekali gus membuka lembaran masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat,” ujar Perdana Menteri.- KOSMO! ONLINE.