KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memiliki pandangan tersendiri mengenai prestasi anak-anak buahnya pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang berlangsung di Paris, Perancis.
Pada edisi kali ini, skuad beregu lelaki gagal untuk membawa pulang sebarang pingat meskipun empat gandingan negara, termasuk satu pasangan profesional menggalas misi memburu kejuaraan dunia.
Bagi Herry, beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas dua beregu di bawah bimbingannya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sekadar menamatkan saingan di suku akhir.
Paling mengecewakan pengendali dari Indonesia itu adalah prestasi Aaron-Wooi Yik yang menampilkan prestasi di bawah paras sebenar biarpun dilabelkan sebagai pilihan kedua pada kejohanan tersebut.
“Pertama sekali, sebagai jurulatih saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana beregu lelaki tidak dapat menghadiahkan sebarang gelaran pada Kejohanan Dunia kali ini.
“Prestasi Aaron-Wooi Yik juga tidak seperti yang dijangka kerana saya mengharapkan mereka boleh melangkah lebih jauh. Prestasi mereka memang kurang baik dan tidak bagus selain terlalu banyak kesilapan.
“Permainan sebenar mereka hanya kelihatan pada penghujung set kedua tetapi ketika itu sudah ketinggalan jauh. Jadi, kali ini beregu lelaki gagal untuk berikan kejuaraan,” katanya.