PETALING JAYA – Tiada kompromi, pelakon Ika Nabella kekal dengan pendirian membawa anak lelakinya menggunakan tandas wanita apabila mereka berada di luar rumah.
Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, 36, berkata, keselamatan puteranya yang baru berusia enam tahun itu menjadi perkara dititikberatkannya di tempat awam.
“Cakap apa yang nak dicakapkan tetapi anak saya akan tetap ikut saya ke tandas wanita selagi saya rasa dia belum sedia untuk ke tandas lelaki sendirian.
“Keselamatannya tidak boleh dibawa dirunding. Kalau perkara itu buatkan sesiapa rasa tidak selesa, itu bukan masalah saya,” katanya dalam hantaran dalam media sosial.
Maklum balas itu diluahkan susulan kenyataan seorang individu yang meminta golongan ibu jangan membawa anak lelaki yang berusia antara tujuh hingga sembilan tahun memasuki tandas wanita.
Menjengah di ruangan komen, ramai sependapat dengan pelakon drama Demi itu yang menyifatkan keselamatan anak kecil sebagai perkara paling serius.
“Betul. Ketika banyak kes jenayah dan pedofilia dilaporkan, ibu bapa kena ambil langkah berjaga-jaga,” kata seorang pengguna Threads.
“Setuju dengan awak 100 peratus. Tak pasal anak kita kena culik sebab dengar cakap perempuan itu. Menyirap darah saya,” tulis pengguna lain.
Bukan hanya bersuara demi kesejahteraan anak tunggalnya, bekas peserta Akademi Fantasia itu juga dikenali sebagai selebriti yang lantang menyentuh pelbagai isu masyarakat di media sosial.
Terdahulu, Ika mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam pada 30 Julai 2016 dan dikurniakan Muhammad Noah Zayn, yang kini berusia enam tahun. – KOSMO! ONLINE