MARANG – Jenazah suami isteri yang maut akibat lemas setelah bot dinaiki mereka terbalik di perairan Kuala Merchang di sini semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating di sini sebentar tadi.
Allahyarham Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan isterinya, Norhasriah Che Osman, 46, selamat dikebumikan pada pukul 2.40 petang.
Upacara pengebumian tersebut disaksikan hampir 200 orang terdiri ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk kampung dalam keadaan hujan renyai.
Anak kedua Abdul Rahim dan Norhasriah, Muhammad Aniq Arsyad, 24, yang merupakan pelatih Tentera Laut Diraya Malaysia (TLDM) berkata, dia bergegas pulang dari Pengkalan TLDM Lumut, Perak sebaik mendapat berita buruk tersebut.
“Sewaktu kali terakhir pulang ke kampung kira-kira tiga minggu lalu, arwah ayah (Abdul Rahim) sempat berpesan agar saya menjaga adik-adik sekiranya sesuatu terjadi kepadanya.
“Sebagai anak lelaki paling tua, saya akan berusaha memegang amanah tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating di sini hari ini.
Terdahulu Abdul Rahim yang merupakan pesara TLDM dan isteri, Norhasriah maut akibat lemas setelah bot fiber dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar dan angin kencang di perairan Kuala Merchang pada pukul 3.30 petang semalam.
Pasangan itu meninggalkan enam anak berumur 15 hingga 26 tahun termasuk dua yang masih bersekolah. – KOSMO! ONLINE