ISLAMABAD – Sebuah helikopter milik kerajaan Pakistan terhempas di utara negara itu hari ini yang meragut nyawa kesemua lima orang di dalamnya, kata seorang pegawai polis.
Seorang pegawai kanan polis di daerah Diamer, Abdul Hameed berkata, helikopter itu sedang melakukan ujian pendaratan di atas helipad yang baru dicadangkan di kawasan pelancongan pergunungan ketika ia terhempas.
“Antara yang terbunuh ialah dua juruterbang dan tiga juruteknik,” katanya kepada AFP.
Helikopter milik kerajaan Gilgit Baltistan itu terhempas di daerah Diamer dalam wilayah tersebut sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).
Insiden itu berlaku hanya beberapa minggu selepas sebuah helikopter MI-17 milik kerajaan terhempas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa ketika menjalankan misi bantuan banjir.
Ia membunuh kesemua lima kru dan juruterbang. – AFP