DENVER, COLORADO – Sekurang-kurangnya seorang cedera selepas dua pesawat ringan bertembung di udara di sebuah lapangan terbang di negeri Colorado, Amerika Syarikat, lapor akhbar The Sun UK.
Nahas berlaku di Lapangan Terbang Fort Morgan semalam.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, sebuah pesawat ringan jenis Cessna 172 dan Extra Extra Flugzeugbau EA300 bertembung sekitar pukul 10.40 pagi (waktu tempatan).
“Kedua-dua pesawat dengan masing-masing membawa dua penumpang cuba mendarat semasa kejadian,” kata FAA.
Sebuah pesawat terbakar sejurus terhempas ke tanah, manakala satu lagi rosak teruk, demikian menurut Pejabat Syerif Daerah Morgan.
“Seorang penumpang mengalami kesan lecur. Keadaan penumpang yang lain masih belum diketahui setakat ini,” kata pejabat itu.
Pelanggaran itu menyebabkan lapangan terbang ditutup.
FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas. – AGENSI