IPOH – Seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat negeri Perak di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi itu, wanita tersebut dilihat berlari atas pentas utama untuk mendekati Sultan Nazrin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek masuk melalui bahagian tepi pentas sebelum ditahan oleh anggota keselamatan bertugas.
“Wanita itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod kes dadah.
“Pemeriksaan turut mendapati wanita itu mempunyai rekod rawatan psikiatri dan berada di bawah pengawasan pakar,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 325 dan 511 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE