WASHINGTON – Beberapa platform media sosial dipenuhi khabar angin berhubung kematian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selepas beliau tidak dilihat secara umum selama beberapa hari, lapor akhbar Metro UK.
Spekulasi itu semakin memuncak apabila Trump gagal menyembunyikan kesan lebam pada tangan kanannya, baru-baru ini.
Naib Presiden, JD Vance turut menyatakan kesediaan untuk mengambil alih jawatan presiden sekiranya Trump meninggal dunia.
“Tragedi mengerikan boleh berlaku. Namun, saya yakin Presiden AS (Trump) berada dalam keadaan baik dan akan menghabiskan sisa penggalnya untuk melakukan perkara-perkara hebat buat rakyat Amerika,” kata Vance kepada akhbar USA Today.
Sebilangan pengguna media sosial turut menyoal keadaan kesihatan dan keberadaan Trump selepas beliau ‘hilang’ selama beberapa hari.
Tiada pengesahan rasmi mengenai status kesihatan beliau setakat ini.
Namun, spekulasi itu ternyata tidak benar apabila beliau dirakam menuju ke padang golf di negeri Virginia semalam. – AGENSI














