KAJANG – Taktik licik sindiket penyeludupan migran yang menyamar sebagai pemandu e-hailing bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kumpulan dikenali sebagai Takor dalam satu operasi khas pada Jumaat lalu.
Serbuan kira-kira pukul 3.45 petang itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Amla, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu membabitkan dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini.
“Dalam serbuan berkenaan, sembilan individu berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun ditahan, termasuk sepasang suami isteri warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’.
“Turut ditahan tiga lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai penjaga premis serta dua lelaki dan dua wanita senegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, siasatan mendapati dua lelaki Indonesia terbabit tinggal lebih masa, manakala lima lagi tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah.
“Sindiket ini menggunakan helah sebagai pemandu e-hailing untuk mengurus penghantaran warga asing pulang ke negara asal dengan mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap individu.
“Kegiatan itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah atau tinggal lebih masa di Lembah Klang,” ujarnya.
Katanya, pasukan operasi turut merampas empat pasport Indonesia, tujuh telefon bimbit, wang tunai RM1,455 serta sebuah kereta jenis Perodua Alza.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 26H dan Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007, selain Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang wanita tempatan turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE