fbpx
SITI NURHALIZA

‘Satu penghormatan, terima kasih Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Terpilih mengadakan persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang berlangsung di Putrajaya hari ini, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan perkara tersebut sebagai momen terindah dalam hidupnya.

Siti, 46, yang menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berjudul Malaysia Madani Rakyat Disantuni menitipkan ucapan penghargaan atas peluang yang diberikan.

“Satu penghormatan dan kenangan indah buat saya untuk menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan yang ke-68.

“Terima kasih Malaysia,” katanya ringkas dalam Instagram hari ini.

Pada acara tersebut, Siti yang mendendangkan lagu ciptaan komposer muda, Affan Mazlan anggun dalam persalinan songket berona coklat gelap

Persembahannya turut diiringi dengan penari yang menggayakan busana pelbagai kaum dan berbilang bangsa di Malaysia.

Menyorot ruangan komen, rata-rata peminat suara emas menyifatkan hanya Siti Nurhaliza sahaja yang mampu menyatukan menyatukan semua bangsa menerusi lagu.

“TokTi saja mampu satukan semua, sebak dengar alunan lontaran suara emas beliau, walaupun macam-macam yang yang berlaku yang berlaku, moga Allah merahmati semuanya di bumi bertuah Malaysia, ” kata netizen.

Sementara itu menerusi perkongsian berasingan, Siti yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa berbesar hati apabila sukarelawan bawah kendaliannya di bumi Palesti turut tidak melepaskan momen sambutan kemerdekaan walaupun dalam keadaan serba daif.

“Di bumi Palestin, sebalik batu runtuhan akibat serangan zionis, mereka yang masih dibelenggu penjajahan, sukarelawan kami melakar Jalur Gemilang dengan penuh kasih. Walau mereka sendiri belum pernah merasai erti kemerdekaan, namun mereka tetap meraikan Hari Kebebasan kita di Malaysia yang ke-68.

“Betapa besar harapan mereka, di balik senyum yang penuh luka, agar suatu hari nanti bendera mereka juga dapat berkibar megah dengan penuh erti merdeka,” katanya dalam Instagram.

Bersyukur atas nikmat kemerdekaan tanah air tercinta,Siti berharap rakyat Malaysia tidak melupakan doa buat saudara kita di bumi Palestin, agar mereka juga dapat menikmati kebebasan yang sejati.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 yang berlangsung awal pagi tadi bermula secara rasmi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN