JAKARTA – Kediaman rasmi Timbalan Gabenor wilayah Jawa Timur, Emil Dardak turut menjadi sasaran serangan perusuh yang membakar rumahnya sehingga musnah, lapor laman berita Ayo Bandung.
Penunjuk perasaan pada awalnya mengadakan demonstrasi berhampiran Bangunan Negeri Grahadi di Surabaya semalam. Ia kemudian memuncak menjadi protes ganas.
Perusuh menyasarkan rumah Emil dengan melempar batu, mercun dan bahan mudah terbakar, manakala pelbagai barangan dari rumahnya turut dilarikan sebelum dibakar.
Dua jentera bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran yang merebak ke pejabat Ketua Biro Umum Sekretariat Wilayah Jawa Timur.
Tidak dinyatakan keadaan Emil dan isterinya ketika kejadian, namun mereka dipercayai mencari perlindungan di suatu lokasi agar tidak menjadi sasaran penunjuk perasaan.
Video serangan itu tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial, dengan ramai yang mempersoalkan tindakan perusuh menyerang kediaman Emil.
“Beliau seorang yang baik, kerjanya juga bagus. Mengapa turut menjadi sasaran?” kata seorang netizen.
“Orang yang tidak bersalah turut diheret sama, padahal beliau seorang yang bertanggungjawab,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI