ROM – Beribu-ribu aktivis pro-Palestin berhimpun di Festival Filem Venice, Itali kerana menuntut penganjur menarik balik undangan kepada kelompok selebriti yang menyokong kekejaman Israel di Gaza, lapor akhbar The Sun UK.
Seramai 5,000 penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Dari Sungai ke Segara, Palestin akan Merdeka’ dan menggesa pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dihentikan.
Mereka turut mengibarkan bendera Gaza dan sepanduk bermaksud: “Hentikan Kebuluran di Gaza”.
Demonstrasi besar-besaran itu memaksa polis meningkatkan pemeriksaan keselamatan terhadap pengunjung.
Festival Filem Venice ke-82 berlangsung pada 27 Ogos sehingga 6 September ini.
Kumpulan penunjuk perasaan turut menyuarakan bantahan terhadap pihak penganjur kerana menjemput dua penyokong tegar Israel iaitu pelakon Gal Gadot dan Gerard Butler.
Penganjur juga digesa untuk menarik semula jemputan kepada ‘mana-mana artis atau selebriti yang secara terbuka dan aktif menyokong genosid’.
Direktor Festival Filem Venice, Alberto Barbero berkata, jemputan tidak akan dibatalkan sambil mengesahkan bahawa Gadot tidak datang ke acara itu.
“Kami tidak akan berbuat sedemikian, jika mereka mahu berada di sini, mereka akan berada di sini.
“Namun, kami tidak pernah teragak-agak untuk menyuarakan kesedihan dan penderitaan berhubung apa yang berlaku kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya. – AGENSI