fbpx
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang penuh nostalgia bersejarah patut dikunjungi setiap rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

‘Rakyat Malaysia lawatlah sekurang-kurangnya sekali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH ada rakyat Malaysia yang mengingati detik bersejarah ketika mereka berhimpit di bangku kayu sebuah stadium yang baru berusia 10 hari, menyaksikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan: “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Beberapa tahun kemudian, lokasi sama turut menjadi saksi pengisytiharan kelahiran Malaysia pada 16 September 1963.

Bagi generasi muda, kisah ini mungkin hanya diceritakan oleh ibu bapa dan datuk nenek. Namun hari ini, gema sejarah itu kembali dapat dirasai di Stadium Merdeka di ibu kota.

Selepas melalui pemulihan menyeluruh oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), stadium ikonik ini kini berdiri megah sebagai ruang komuniti yang terus menghubungkan rakyat dengan sejarah bangsa.

Keistimewaan Stadium Merdeka bukan sahaja terletak pada warisan sejarahnya, tetapi juga pada ruang yang inklusif dan mudah diakses. Ia tidak lagi sekadar lokasi acara besar, sebaliknya kini terbuka untuk orang ramai berkumpul, beriadah dan berekreasi.

Sejak dirasmikan semula pada 17 Ogos 2024 menerusi Piala Sultan Selangor, Stadium Merdeka telah menjadi tuan rumah kepada lebih 200 acara merangkumi budaya, seni, sukan, warisan dan pendidikan. Daripada konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika, Jason Zhang dan Michael Wong, sehinggalah sambutan ulang tahun ke- 20 Mr. DIY, pentasnya sentiasa meriah.

Salah satu ruang dalaman stadium turut mempamerkan gambar-gambar bersejarah untuk tatapan pengunjung.

Namun, semangat komuniti lebih terserlah apabila keluarga datang berkunjung, para pelari mengelilingi trek mahupun pasukan pancaragam sekolah memenuhi ruang dengan muziknya.

Bagi Azlan Adani, 41, ahli Kelab Larian ASICS, stadium ini bukan sahaja bersejarah malah praktikal.

“Ia satu perasaan luar biasa untuk melangkah ke tempat yang kaya dengan sejarah. Saya menonton perlawanan bola sepak pertama saya di sini pada awal 90-an, dan kini saya berlatih di padang yang sama tempat legenda sukan pernah beraksi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tutur Azlan lagi, sempena Hari Merdeka, harapannya agar rakyat Malaysia terus menghargai dan memelihara tempat sebegini.

“Stadium Merdeka bukan hanya mengingatkan kita pada sejarah, tetapi juga menjadi ruang untuk membina komuniti yang lebih sihat dan kuat.

“Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan datang dan alami sendiri. Sama ada anda pelari atau keluarga yang mencari ruang terbuka, stadium ini milik kita semua,” katanya.

Stadium Merdeka turut menjadi medan kepada pancaragam VictoriaInstitution Cadet Corps Band (VICCB), salah satu pancaragam sekolah tertua di Malaysia.

Stadium Merdeka milik kita semua untuk dimanfaatkan.

Pengarah pancaragam, Nazmi Naim Abd. Ghani, menyatakan bahawa peluang menggunakan stadium adalah pengalaman yang amat berharga,

“Diberi peluang untuk menggunakan Stadium Merdeka merupakan pengalaman bermakna bagi pelajar Victoria Institution,” katanya.

Nazmi turut mengajak orang ramai untuk berkunjung ke Stadium Merdeka.

“Saya menggalakkan semua orang untuk melawat Stadium Merdeka sekurang-kurangnya sekali. Sebaik saja anda melangkah ke dalamnya, anda akan merasai kebanggaan dan nostalgia kerana inilah tempat Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka’ pada tahun 1957,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab Aziz Mahmud berkata, dengan menghidupkannya semula, ia menjadi tempat rakyat berkumpul dan berbangga dengan sejarah negara.

“Hari ini, saya amat terharu melihat stadium dipenuhi konsert, sukan, bengkel dan aktiviti harian. Ia membuktikan usaha pemuliharaan ini benar-benar membua hasil. Stadium Merdeka kini kembali kepada komuniti.

“Kini, Stadium Merdeka berperanan sebagai pusat komuniti untuk seni, warisan, budaya dan sukan. Ruang yang sentiasa hidup dengan aktiviti yang menghubungkan sejarah negara dengan generasi masa kini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN