PUTRAJAYA- Hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dilaporkan menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 850,000 rakyat berjaya berbelanja lebih RM50 juta setakat pukul 9.30 malam tadi.
Kementerian Kewangan berkata, sambutan tinggi daripada penerima Sara hari ini turut menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak.
“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.
“Walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses.
“Kementerian Kewangan dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui Sara dengan lancar tanpa gangguan esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Lantaran itu, bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan
perbelanjaan melalui Sara esok, MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini.
“Pihak Kementerian Kewangan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar.
“Bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini,” katanya.
Jelas Kementerian Kewangan, sehingga bulan 30 Ogos, pelaksanaan bulanan Sara telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.
“Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off Penghargaan Sara ini kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit
berdaftar di seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, sistem terminal MyKasih telah mengalami kelewatan pemprosesan transaksi susulan lonjakan volum pembelian.
Ia sekali gus menyebabkan ramai di kawasan-kawasan tertentu mengeluh berikutan tidak berjaya membeli barangan keperluan menggunakan bantuan one-off sebanyak RM100 berkenaan susulan sistem tergendala. – KOSMO! ONLINE