PETALING JAYA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menegaskan pihaknya tidak menghalang rakyat Malaysia untuk meneruskan kunjungan ke Indonesia sama ada atas urusan rasmi, perniagaan, keluarga mahupun lawatan.
Seksyen Konsular Kedutaan Besar Malaysia berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan mutakhir melalui saluran media tempatan selain menghindari kawasan demonstrasi serta lokasi panas yang terkesan akibat rusuhan sejak 25 Ogos lalu.
“Mereka yang hadir atas urusan rasmi dan perniagaan juga disaran berhubung rapat dengan pihak penganjur atau rakan tempatan mengenai penjadualan dan kesediaan mereka untuk membantu menyelaras keperluan sekiranya timbul sebarang masalah.
“Justeru, rancang perjalanan dengan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! malam ini.
Menurut Kedutaan, beberapa bandar utama termasuk Jakarta Selatan, Jakarta Pusat, Bandung, Makassar, Yogyakarta, Medan, Surabaya dan Bali antara lokasi yang terkesan dengan demonstrasi berkenaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersama-sama Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Konsulat Malaysia di Pekanbaru, Konsulat Malaysia di Pontianak serta Konsul Kehormat Malaysia di Makassar dan Bali akan terus memantau rapat perkembangan semasa serta bersedia membantu rakyat Malaysia sekiranya diperlukan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.