PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat sedang berlaku di beberapa tempat melibatkan kawasan di sekitar Perlis, Kedah dan juga Pulau Pinang pada pagi ini.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya berkata, keadaan itu bagaimanapun dijangkakan akan pulih menjelang lewat pagi nanti.
Katanya, bagi lain-lain kawasan di semenanjung keadaan cuaca adalah baik dan tiada hujan buat masa ini.
“Sementara itu di Sarawak pula, didapati hujan sedang berlaku di kebanyakan tempat iaitu di Bintulu, Kapit, Sibu, Sri Aman dan Kuching, keadaan hujan ini dijangka pulih menjelang petang nanti.
“Di Sabah pula didapati keadaan cuaca baik dan tiada hujan pada pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, menjelang petang nanti MetMalaysia menjangkakan hujan lebat dan angin kencang masih lagi berpotensi berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Hujan lebat juga dijangka berlaku di sekitar Sandakan dan Tawau di Sabah termasuklah di bahagian pedalaman Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu MetMalaysia melaporkan carta angin semasa ketika ini menunjukkan angin masih bertiup dengan kelajuan agak kencang sekitar 40 hingga 60 kilometer per jam.
“Susulan itu MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora peringkat pertama dan kedua melibatkan kawasan Selat Melaka, Samui, Condore, Labuan, Sulu, Phuket, Reef North, Palawan dan Layang-layang.
“Amaran tersebut berkuat kuasa sehingga 13 September ini, oleh demikian keadaan ini berbahaya untuk aktiviti menangkap ikan, bot-bot kecil dan perkapalan serta aktiviti pantai dan sukan laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE