PETALING JAYA- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di lapan negeri pada petang ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran ribut petir itu dikeluarkan susulan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir yang dijangka berlaku hingga 6 petang nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda) dan di Perak (Hulu Perak, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Selain itu, turut dikenakan amaran ialah di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman),” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang juga diramalkan melanda negeri Pahang (Raub, Bentong, Temerloh dan Pekan) dan Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat).
“Keadaan sama juga dijangka melanda seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan daerah Jelebu di Negeri Sembilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE