PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, yang muncul juara Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025.
Menerusi hantaran di platform X, Anwar menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Hadiah Hari Kebangsaan buat Malaysia! Tahniah kepada pasangan beregu campuran negara atas pencapaian membanggakan di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025.
“Terima kasih kerana telah bekerja keras demi mengharumkan nama negara,” katanya.
Terdahulu, Tang Jie–Ee Wei menewaskan gandingan China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, dengan kemenangan straight set 21-15, 21-14 dalam aksi final kategori beregu campuran.
Kejayaan itu sekaligus mengakhiri penantian Malaysia untuk kembali meraih gelaran dunia, sekali gus melakar sejarah baharu dalam arena badminton tanah air.- KOSMO! ONLINE














