LONDON – Manchester City terus dilanda badi apabila tewas kali kedua berturut-turut selepas dikejutkan Brighton 1-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Amex itu, skuad The Citizens membariskan kesebelasan terbaik dengan Erling Haaland memacu jentera serangan dalam usaha memburu kemenangan selepas tewas kepada Tottenham Hotspur minggu lalu.
Haaland mempamerkan bisa tersendiri penampilan ke-100 EPL dengan meledak gol ke-88 pada minit ke-34 selepas menerima hantaran Omar Marmoush.
Namun, pasukan tuan rumah mempamerkan kebangkitan pada babak kedua selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit-65 selepas bola terkena tangan Matheus Nunes ketika situasi set-piece.
Kesempatan itu digunakan oleh pemain berpengalaman, James Milner untuk menyamakan kedudukan.
Gol tersebut menaikkan semangat The Seagulls apabila pemain gantian, Brajan Gruda meledak gol kemenangan pada masa kecederaan dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi EPL, West Ham berjaya melakar kejutan dengan menewaskan Nottingham Forest 3-0 hasil jaringan Jarod Bowen, Lucas Paqueta dan Callum Wilson. – KOSMO! ONLINE