BANDAR GAZA – Seramai empat askar Israel hilang, manakala sebilangan lagi mati dan cedera di Gaza, dalam sebahagian daripada operasi serangan hendap yang dijalankan oleh Briged Al-Qassam di kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza, lapor laman berita Middle East Monitor semalam.
Sumber melaporkan bahawa operasi itu bermula dengan serangan hendap besar-besaran di Zeitoun, yang mengakibatkan kematian beberapa askar Israel, manakala laporan lain mengesahkan kecederaan yang disifatkan sebagai kritikal.
Media berbahasa Ibrani menambah bahawa tentera Israel mengerahkan enam helikopter tambahan untuk memindahkan askar yang mati dan cedera dari lokasi serangan hendap.
Laporan juga menyebut bahawa tentera Israel mengaktifkan Protokol Hannibal. Ia merupakan langkah ketenteraan kecemasan yang digunakan dalam situasi sedemikian untuk menghalang askarnya daripada ditangkap.
Sumber mengesahkan bahawa pasukan daripada Divisyen (162) dan (401) Briged Berperisai adalah anggota yang terperangkap dalam dalam serangan hendap.
Pasukan itu turut berada di lokasi medan peperangan yang sengit akibat pertempuran di Zeitoun dengan ketibaan lebih ramai pejuang Palestin untuk menyokong operasi tersebut.
Media Israel melaporkan bahawa pejuang sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam cuba menangkap tentera Israel semasa serangan hendap di Zeitoun. Dalam masa sama, askar Rejim Zionis meneruskan pencarian meluas bagi anggotanya yang hilang.
Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida berkata, pasukan penentangan Palestin berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi rancangan Israel untuk menduduki Bandar Gaza.
Dalam satu siri catatan di aplikasi Telegram pada petang Jumaat lalu, Abu Obeida berkata: “Rancangan untuk menduduki Bandar Gaza akan dibayar oleh tentera musuh dengan darah askarnya sendiri.” – AGENSI