MELAKA – Seramai 400,000 penghantar makanan atau rider di seluruh negara kini menantikan perubahan kadar upah perkhidmatan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur kelmarin .
Penasihat Persatuan Rakan Penghantar Malaysia, Bryan Ng Yih Miin berkata, ia merangkumi isu harga lantai yang sebelum ini tidak pernah ditetapkan oleh pihak syarikat sehingga menimbulkan rasa curiga berhubung pengiraan kadar upah diberikan.
“Kadar upah sebelum ini berubah-ubah dan tidak konsisten serta tiada harga lantai.
“Pihak syarikat tidak menunjukkan cara pengiraan upah itu dibuat, jadi rider tidak tahu sekiranya amaun diberikan mencukupi atau berlaku kesalahan.
“Dengan kelulusan RUU Pekerja Gig 2025 ini, kami harap satu harga lantai ditetapkan dan sebelum ini pihak kami ada mencadangkan agar kiraan dibuat pada kadar RM1.70 per kilometer,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya, meskipun kadar upah dirasakan terlalu rendah sebelum ini, namun rata-rata rider terpaksa meneruskan pekerjaan itu selepas mengambil kira peluang pekerjaan yang didakwa sukar didapati disebabkan isu latar belakang pendidikan, usia dan sebagainya.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain permasalahan kadar upah, antara perkara lain yang memberi kelegaan kepada golongan penghantar adalah manfaat perlindungan sosial.
“Kita tahu ramai rider tidak mencarum kerana memikirkan jumlah yang perlu dibayar iaitu RM157.20 hingga RM592.80 setahun dan apabila berlaku kemalangan mereka ini tidak dilindungi.
“Dalam kerangka ini, bayaran perlindungan dicarum secara automatik iaitu pada kadar jauh lebih rendah 1 sen bagi setiap RM1 (upah),” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar p-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani turut menyuarakan perkara sama dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk bersama-sama menambah baik kerangka RUU Pekerja Gig 2025.














