JELEBU – Penduduk di Segamat, Johor diminta agar tidak panik susulan kejadian gempa bumi lemah yang direkodkan berlaku sebanyak enam kali di lokasi tersebut sejak Ahad lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kerajaan menerusi agensi Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan serta bersiap siaga.
Menurutnya, penduduk juga diminta untuk melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dijauhkan dari segala malapetaka yang lebih besar.
“Saya telah melaporkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri semalam. Saya telah diberitahu oleh Ketua Pengarah MetMalaysia dan juga JMG, pemantauan akan terus dilakukan.
“Insya Allah, kesiapsiagaan untuk seluruh penduduk Segamat dan Johor pada amnya akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat Negeri dan juga negara.
“Saya harap mereka jangan panik, semua dalam keadaan siap siaga, mudah mudahan tidak sebarang bencana yang besar berlaku dan saya mohon agar mereka solat hajat memohon daripada Allah SWT supaya dijauhkan daripada sebarang manapun yang lebih besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Program Kembara Merdeka Akar Umbi di Perhentian Bas Simpang Pertang, di sini, hari ini.
Untuk rekod, Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi untuk kali keenam dalam tempoh seminggu pada pagi ini.
MetMalaysia berkata, gempa bumi lemah telah berlaku di Segamat, Johor pada pukul 7.29 pagi membabitkan koordinat 2.5 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur, dengan magnitud 2.7 manakala jarak 2 km Barat Laut dari Segamat serta kedalaman 10 km.
Ahad lalu, MetMalaysia telah mengesahkan gempa bumi lemah di daerah tersebut pada pukul 6.13 pagi dengan magnitud 4.1.- KOSMO! ONLINE