fbpx
Penurunan kadar akses bagi program tenaga hijau di bawah PETRA selaras dengan jadual tarif elektrik baharu.

Kadar SAC, CAC program tenaga hijau turun sehingga 40 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) semalam mengumumkan penurunan sehingga 40 peratus bagi kadar Caj Akses Sistem (SAC) program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Caj Akses Komuniti (CAC) untuk program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).

Menurut PETRA dalam satu kenyataan, penelitian dan penyesuaian terhadap kadar SAC dan CAC sedia ada telah dilakukan dengan mengambil kira komponen serta nilai tarif berdasarkan jadual tarif baharu, agar nilai yang ditetapkan adalah wajar dan tidak berlaku pengiraan berganda.

Ini selaras dengan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang lebih telus dan progresif bermula 1 Julai 2025.

Lanjutan itu, kerajaan menetapkan supaya kadar SAC dan CAC untuk Tempoh Regulatori Ke-4 dilaraskan berkuat kuasa serta-merta, iaitu kadar SAC program CRESS bagi pembekalan firm (bekalan tenaga dijamin ketersediaannya sepanjang masa) diturunkan daripada 25 sen/kilowattjam (kWj) kepada 20 sen/kwj.

Bagi pembekalan non-firm (bekalan tidak dijamin sentiasa ada, bergantung kepada pengeluaran sumber TBB) pula, ia diturun­kan daripada 45 sen/kwj kepada 40 sen/kwj.

Sementara bagi kadar CAC untuk program CREAM, ia diturunkan daripada 15 sen/kwj kepada sembilan sen/kwj.

Program CREAM membenarkan komuniti menyumbang ruang bumbung untuk penjanaan dan akses kepada elektrik hijau secara lokal.

“Kadar SAC dan CAC baharu ini telah menurun sehingga 40 peratus berbanding nilai sebelum ini.

“Oleh itu, kadar SAC dan CAC baharu dijangka akan berupaya menarik lebih ramai penyertaan pengguna-pengguna korporat untuk mendapat bekalan elektrik hijau pada kos yang lebih kompetitif.

“PETRA sebagai peneraju agenda peralihan tenaga negara yakin bahawa penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak syarikat korporat mendapat akses bekalan elektrik hijau dalam memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) masing-masing.

“Langkah ini akan menyokong aspirasi negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050, sekali gus memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi capaian syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau, kerajaan telah memperkenalkan program CRESS pada Julai 2024 dan CREAM pada Februari lalu, kedua-duanya bertujuan mewujudkan opsyen pembekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna.

Ia memberi pilihan kepada syarikat korporat untuk mendapat bekalan elektrik hijau secara terus daripada pemaju TBB, menerusi sistem rangkaian grid dengan caj akses seperti yang telah ditetapkan.

CRESS membolehkan syarikat korporat memperoleh elektrik hijau secara langsung daripada pembekal TBB melalui grid nasional, menerusi model akses pihak ketiga.

Sementara itu, CREAM yang merupakan inisiatif baharu membolehkan pengumpulan ruang bumbung kediaman oleh pemaju tenaga untuk menjana tenaga suria dan membekalkannya sebagai elektrik hijau kepada pengguna tempatan melalui grid terbuka.

Pemaju tenaga boleh menyewa bumbung daripada pemilik rumah dan memasang sistem solar, manakala elektrik yang dijana akan dijual kepada pengguna dalam lingkungan lima kilometer melalui rangkaian Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kadar caj lebih menarik dilihat mampu meningkatkan penyertaan syarikat korporat untuk menggunakan tenaga hijau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Time Energy Sdn. Bhd., unit tenaga boleh baharu Time dotCom, Arjun Arasu berkata, langkah PETRA untuk mengurangkan Caj Akses Komuniti untuk CREAM adalah keputusan tepat.

“Kos akses grid yang lebih rendah menjadikannya lebih berdaya maju untuk perniagaan membeli tenaga elektrik yang dijana komuniti.

“Ini membuka pintu kepada 85 peratus isi rumah Malaysia dengan bil elektrik yang lebih kecil untuk memasang solar dan menyumbang kepada matlamat tenaga boleh diperbaharui Malaysia,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI