SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes rogol anak tiri berusia 13 tahun di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada guru sekolahnya yang bertindak membuat laporan polis pada Khamis.
Katanya mangsa dilihat berada dalam keadaan murung dan suka menyendiri sejak kebelakangan ini sebelum seorang guru mendekati dan meminta mangsa menceritakan kenapa dia berkeadaan demikian.
“Mangsa menceritakan dia trauma kerana telah beberapa kali dirogol bapa tirinya itu di rumah mereka semasa ketiadaan ibunya.
“Bertindak atas maklumat itu kita kemudian berjaya menahan lelaki berkenaan di rumah mereka di Gurun awal pagi semalam,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hanyan, mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik, manakala ibunya seorang suri rumah.
Katanya, bapa tirinya itu mempunyai empat anak lagi hasil perkahwinan pertamanya dan berkahwin dengan ibu mangsa baru beberapa tahun.
“Mangsa dihantar untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala suspek kini dalam tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














