PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencuri perhatian ramai apabila tampak tenang ketika hadir pendengaran permohonan peguam di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.
Menerusi video yang dimuat naik Sabah Info, meskipun Noraidah Lamat memakai pelitup muka, namun raut wajahnya tenang apabila berdepan pihak media.
Malah wartawan turut bertanyakan kepada peguam ‘rahsia’ di sebalik ketenangan ibu pelajar tingkatan satu tersebut.
Selain itu, wanita tersebut juga tersenyum ketika berbual dengan peguam di luar mahkamah sementara menunggu prosiding bermula.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji kekuatan yang ditonjolkan Noraidah meskipun berdepan kehilangan besar.
“Dia tenang sebab Allah beri kekuatan, dia yakin dengan janji Allah,” kata Noe Eisha.
“Kekuatan yang tidak dapat digambarkan. Semoga Allah melindungi ibu Zara selalu, kami tetap di belakang anda,” ujar Anna Saimma.
“Nampak kuat, tetapi Allah sahaja yang tahu perasaan ibu Zara setakat ini,” balas Saniah.
Mahkamah Koroner hari ini mendengar permohonan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina untuk mendeklarasikan Noraidah sebagai orang berkepentingan dalam prosiding inkues pada minggu hadapan.
Mahkamah kemudian membenarkan Noraidah menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca dan sebab kematian remaja berusia 13 tahun tersebut.
Keputusan itu dibuat oleh Pengarah Mahkamah Negeri Sabah merangkap Koroner, Azreena Aziz selepas meneliti permohonan yang difailkan pada 19 Ogos lalu.
Melalui kebenaran itu, Noraidah melalui pasukan peguam pemerhati boleh memeriksa dan menyoal balas saksi, melihat dokumen, serta mencadangkan dan membawa saksi tambahan bagi membantu koroner.
Allahuarham Zara Qairina yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari dirawat di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Remaja itu mengalami kecederaan parah dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada pukul 3 pagi. – KOSMO! ONLINE